Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) Malaysia

Permulaan Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT)

Apakah PLT?

Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) adalah satu wadah perniagaan alternatif yang dikawal selia di bawah Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012 yang menggabungkan ciri-ciri sebuah syarikat dan perkongsian konvensional.

Kepada siapa?

Struktur perniagaan PLT direka untuk semua tujuan perniagaan yang sah di sisi undang-undang bertujuan untuk mendapat keuntungan. PLT juga boleh dibentuk oleh golongan profesional seperti Peguam, Akauntan Bertauliah dan Setiausaha Syarikat bagi tujuan menjalankan amalan profesional mereka. Konsep PLT juga akan menyokong perniagaan baru dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengembangkan perniagaan mereka tanpa perlu bimbang terhadap liabiliti dan aset peribadi serta keperluan pematuhan yang ketat.

Ciri-ciri utama

Antara yang lain, PLT memberi perlindungan liabiliti terhad kepada rakan-rakan kongsinya sama seperti liabiliti terhad yang dinikmati oleh pemegang saham sesebuah syarikat. PLT juga memberi fleksibiliti peraturan perniagaan dalaman melalui pengaturan perkongsian yang serupa dengan sesebuah perkongsian konvensional.

Apa-apa hutang dan obligasi PLT akan ditanggung dan dibayar daripada harta PLT tersebut dan bukan daripada harta rakan-rakan kongsinya. PLT mempunyai status undang-undang perbadanan pertubuhan yang boleh menyaman dan disaman atas nama PLT itu sendiri, memiliki aset atas namanya dan melakukan semua perkara lain yang sah di sisi undang undang atas namanya yang sama seperti sebuah perbadanan pertubuhan yang lain.

PLT juga menawarkan fleksibiliti dari segi penubuhan, penyelenggaraan dan penamatan dan mempunyai ciri-ciri dan tarikan yang dinamik agar dapat bersaing di peringkat domestik dan antarabangsa. Dengan pengenalan PLT, para usahawan akan mempunyai lebih banyak wadah perniagaan untuk dipilih mengikut kesesuaian.

SOALAN LAZIM
Bil. Soalan Jawapan
1
Apakah itu Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT)?

PLT merupakan bentuk perniagaan alternatif yang menawarkan ciri-ciri hibrid di antara perkongsian konvensional dan syarikat. Antara ciri-ciri istimewa PLT adalah ianya sama seperti perkongsian konvensional dari segi fleksibiliti dalam pentadbirannya dan sama seperti syarikat dari segi liabiliti terhad ke atas rakan kongsinya.

2
Kenapa PLT diperkenalkan di Malaysia?

Untuk memberikan komuniti perniagaan di Malaysia suatu bentuk perniagaan alternatif untuk melengkapkan lagi pilihan tradisional milikan tunggal, perkongsian dan syarikat-syarikat (tempatan dan asing);
Memberikan akses kepada status liabiliti terhad kepada perniagaan berbentuk perkongsian;
Memberikan cara menjalankan perniagaan yang mampu dimiliki.

3
Apakah perbezaan antara PLT dan perkongsian biasa?

PLT menawarkan liabiliti terhad kepada rakan kongsinya di mana apa-apa hutang dan obligasi PLT akan ditanggung sepenuhnya oleh aset-aset PLT. Dalam kes perkongsian konvensional pula, rakan kongsi mempunyai liabiliti secara bersesama dan berasingan (jointly and severally liable) dengan firma perkongsian itu.

4
Apakah perbezaan antara PLT dan syarikat?

Terdapat banyak perbezaan yang jelas antara PLT dan syarikat. Antara lain, perbezaannya adalah:-

Tiada keluaran saham (sebaliknya modal dalam bentuk modal kongsi oleh rakan kongsi);
Fleksibiliti membuat keputusan;
Tiada keperluan formal untuk Mesyuarat Agung Tahunan;
Tiada keperluan untuk mengemukakan penyata kewangan kepada SSM; dan
Akaun tidak perlu diaudit.
5
Apakah jenis organisasi yang mungkin menjadi pengguna atau benefisiari PLT?

Perniagaan kecil (perniagaan yang baru bermula)
Golongan professional (e.g. peguam, akauntan, setiausaha syarikat)
Usahasama (joint ventures)
Modal teroka (venture capital)

6
Apakah status perundangan PLT?

Dari segi perundangan, PLT merupakan sebuah pertubuhan perbadanan.

7
Kenapa seseorang itu patut memilih untuk mendaftar sebagai PLT dan bukan mendaftar sebagai perniagaan atau memperbadankan syarikat?

PLT memberikan fleksibiliti dari segi pengurusan dalaman sesebuah organisasi yang tertakluk kepada perjanjian di antara rakan kongsi manakala syarikat tertakluk kepada keperluan pematuhan yang lebih ketat yang terkandung di dalam Akta Syarikat 1965.

8
Adakah terdapat apa-apa sekatan berhubung jenis syarikat/perniagaan yang boleh menggunakan PLT sebagai bentuk perniagaan?

Tidak. PLT boleh digunakan untuk semua jenis perniagaan yang sah di sisi undang-undang dengan tujuan untuk mendapat keuntungan.

9
Bolehkah badan-badan kebajikan berdaftar sebagai PLT?

Tidak. PLT adalah untuk menjalankan perniagaan dengan tujuan untuk mendapat keuntungan sahaja.

10
Bagaimana untuk mendaftar PLT?

PLT boleh didaftarkan melalui permohonan yang dibuat kepada Pendaftar PLT dengan mengemukakan maklumat berikut kepada SSM:-

cadangan nama PLT;
jenis perniagaan;
alamat pejabat berdaftar;
nama dan butir-butir rakan kongsi;
nama dan butir-butir pegawai pematuhan; dan
surat kelulusan (dalam kes amalan profesional).
11
Bolehkah pendaftaran PLT ditolak atau tidak diterima? Jika ya atas alasan apa?

Pendaftaran LLP boleh ditolak sekiranya Pendaftar berpuas hati bahawa:-

(a) pendaftaran PLT itu adalah bertentangan dengan keselamatan atau kepentingan negara; atau
(b) perniagaan yang dicadangkan berkemungkinan digunakan untuk :

tujuan kebajikan;
tujuan yang menyalahi undang-undang; atau
tujuan yang memudaratkan ketenteraman awam, kebajikan atau keselamatan atau prinsip moral di Malaysia.
12
Adakah terdapat had bilangan rakan kongsi sesebuah PLT?

PLT perlu mempunyai sekurang-kurangnya minimum 2 rakan kongsi dan tiada had maksimum untuk bilangan rakan kongsi.

13
Siapa boleh menjadi rakan kongsi dalam PLT?

Individu (orang perseorangan) atau pertubuhan perbadanan sama ada secara keseluruhan atau sebahagian daripada PLT.

14
Perlukah ada perjanjian perkongsian?

Ya. Walau bagaimanapun, sekiranya tiada perjanjian mengenai apa-apa perkara yang dinyatakan dalam Jadual Kedua Akta PLT 2012, peruntukan di Jadual Kedua berhubung perkara itu akan terpakai secara automatik.

15
Bolehkah dua syarikat membentuk PLT?

Ya, boleh. Ini merupakan bentuk biasa usahasama.

16
Berapa lamakah SSM mengambil masa untuk memproses permohonan pendaftaran?

Suatu notis pendaftaran akan dikeluarkan serta-merta selepas penyerahan permohonan melalui sistem MyLLP dengan syarat semua keperluan pendaftaran dipenuhi.

17
Adakah perlu untuk setiap rakan kongsi itu merupakan “pemastautin” di Malaysia?

Tiada keperluan untuk rakan kongsi menjadi pemastautin di Malaysia tetapi terdapat keperluan agar pegawai pematuhan merupakan warganegara atau pemastautin di Malaysia.

18
Adakah rakan kongsi PLT akan bertanggungjawab secara peribadi untuk hutang yang ditanggung oleh PLT?

Tidak. PLT yang akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap hutang dan obligasinya. Walau bagaimanapun, rakan kongsi akan bertanggungjawab secara bersesama dan berasingan bagi perbuatan sendiri yang salah atau peninggalan dalam menjalankan perniagaan PLT. Walau bagaimanapun, PLT tidak terikat dengan apa yang dilakukan oleh seorang rakan kongsi dalam berurusan dengan seseorang jika:-

rakan kongsi itu telah bertindak tanpa kuasa; atau
individu yang mana rakan kongsi berurusan itu mengetahui bahawa rakan kongsi itu bertindak tanpa kuasa atau tidak mengetahui yang dia seorang rakan kongsi PLT.
19
Di bawah Akta PLT 2012 terdapat keperluan untuk PLT untuk melantik sekurang-kurangnya seorang pegawai pematuhan. Apakah syarat-syarat bagi seseorang untuk dilantik sebagai pegawai pematuhan PLT?

Pegawai pematuhan perlu merupakan salah seorang daripada rakan kongsi atau seseorang yang layak untuk bertindak sebagai setiausaha di bawah Akta Syarikat 1965 yang merupakan :-
(a) warganegara atau pemastautin tetap Malaysia; dan
(b) biasanya menetap di Malaysia.

20
Apakah tanggungjawab dan liabiliti pegawai pematuhan?

Tanggungjawab utama pegawai pematuhan adalah seperti:-

Mendaftarkan apa-apa perubahan butir-butir PLT;
Menyimpan dan menyelenggara daftar dan rekod PLT; dan
Memastikan penerbitan nama-nama PLT menurut peruntukan-peruntukan Akta.
Pegawai pematuhan adalah bertanggungjawab secara peribadi terhadap semua penalti termasuklah penalti pentadbiran yang dikenakan ke atas PLT jika dia dapat membuktikan bahawa dia tidak bertanggungjawab.

21
Bolehkah bilangan pegawai pematuhan lebih daripada seorang?

Ya, boleh.

22
Jika PLT mempunyai dua rakan kongsi dan salah seorang daripada mereka berhenti daripada menjadi rakan kongsi atas apa-apa sebab, adakah rakan kongsi yang masih ada itu perlu melantik rakan kongsi lain? Adakah terdapat jangka masa untuk berbuat demikian??

Ya. Rakan kongsi yang masih ada itu perlu melantik seorang rakan kongsi lain dalam masa enam bulan atau tempoh yang lebih lama yang boleh ditentukan oleh Pendaftar atas permohonan rakan kongsi sedia ada dan tempoh lanjutan yang diberi tidak patut melebihi satu tahun.

23
Bolehkah rakan kongsi yang diisytiharkan bankrap terus menjadi pekongsi?

Rakan kongsi yang diisytiharkan bankrap boleh terus menjadi pekongsi. Walau bagaimanapun, dia adalah dilarang daripada mengambil bahagian dalam pengurusan PLT itu melainkan dia telah mendapat kebenaran daripada:-

Ketua Pengarah Insolvensi; atau
Mahkamah dengan syarat bahawa suatu notis tentang niat untuk memohon kebenaran telah disampaikan kepada KPI dan KPI didengar pada permohonan itu.
24
Bolehkah bentuk perniagaan sedia ada seperti syarikat atau firma perkongsian bertukar menjadi PLT?

Ya, boleh. Dalam kes sebuah syarikat, hanya syarikat persendirian yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 dibenarkan. Dalam kes sebuah perkongsian, hanya firma yang berdaftar di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 atau mana-mana firma yang menjalankan amalan profesional dibenarkan.

25
Bagaimana untuk menukar syarikat persendirian atau firma perkongsian konvensional kepada PLT? Prosedur?

Sebuah syarikat persendirian boleh memohon untuk bertukar kepada PLT dengan mengemukakan kepada Pendaftar satu kenyataan yang ditandatangani oleh semua pemegang saham yang mengandungi butir-butir berikut:

(i) nama dan nombor pendaftaran syarikat persendirian;

(ii) tarikh syarikat persendirian diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965;

(iii) bahawa sehingga tarikh permohonan, syarikat persendirian dilihat mampu membayar hutangnya apabila ia perlu dibayar dalam pelaksanaan perniagaan;

(iv) bahawa sehingga tarikh permohonan, semua fi statutori yang belum dijelaskan atau apa-apa jumlah yang terhutang kepada mana-mana agensi kerajaan telah diselesaikan;

(v) bahawa syarikat persendirian telah meletakkan iklan dalam sekurang-kurangnya salah satu daripada akhbar yang diedarkan secara meluas di Malaysia dan menerbitkan pemberitahuan dalam Warta berhubung niatnya untuk bertukar kepada perkongsian liabiliti terhad; dan

(vi) bahawa semua pemiutangnya telah bersetuju dengan permohonan untuk bertukar kepada perkongsian liabiliti terhad; dan

(vii) semua maklumat lain untuk pendaftaran PLT baru seperti nama, jenis perniagaan, alamat pejabat berdaftar, nama pekongsi dan nama pegawai pematuhan.

Perkongsian konvensional boleh memohon untuk bertukar kepada PLT dengan mengemukakan kepada Pendaftar satu kenyataan yang telah ditandatangani oleh semua rakan kongsinya yang mengandungi butir-butir berikut:

(i) nama dan nombor pendaftaran perkongsian konvensional;

(ii) tarikh perkongsian konvensional didaftarkan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 atau apa-apa undang-undang lain;

(iii) bahawa sehingga tarikh permohonan, perkongsian konvensional dilihat mampu membayar hutangnya apabila perlu dibayar dalam pelaksanaan biasa perniagaan;

(iv) semua maklumat lain untuk pendaftaran PLT baru seperti nama, jenis perniagaan, alamat pejabat berdaftar, nama pekongsi dan nama pegawai pematuhan dan surat kelulusan daripada badan pengawal berkaitan jika penukaran itu adalah daripada sebuah firma profesional kepada PLT.

26
Apakah kedudukan syarikat persendirian yang bertukar kepada PLT?

Kedudukan syarikat persendirian hendaklah disifatkan sebagai telah dibubarkan.

27
Bolehkah pemilik tunggal bertukar kepada PLT?

Pemilik tunggal tidak boleh bertukar kepada PLT kerana ia hanya mempunyai 1 pemilik. Pemilik tunggal perlu mendapatkan sekurang-kurangnya satu lagi rakan kongsi sebelum dia boleh berdaftar sebagai PLT.

28
Adakah perlu untuk PLT yang telah ditukar untuk memberitahu penukaran tersebut kepada mana-mana pihak yang telah berurusan dengannya sebelum penukaran berlaku?

Perkongsian liabiliti terhad yang telah ditukar daripada perkongsian konvensional atau syarikat persendirian hendaklah memastikan bagi tempoh dua belas bulan bermula dari empat belas hari selepas tarikh pendaftaran penukaran, tiap-tiap invois atau surat-menyurat rasmi perkongsian liabiliti terhad itu terdapat padanya yang berikut:

Suatu pernyataan bahawa PLT itu, dari tarikh pendaftaran, ditukarkan daripada perkongsian konvensional atau syarikat persendirian, mengikut yang berkenaan, kepada PLT; dan
Nama dan nombor pendaftaran, jika terpakai, bagi perkongsian konvensional atau syarikat persendirian itu yang daripadanya perkongsian liabiliti terhad itu ditukarkan.
29
Bolehkah PLT ditukar semula kepada syarikat persendirian?

Tidak boleh. PLT perlu membuat penggulungan secara sukarela terlebih dahulu dan kemudiannya memperbadankan syarikat yang baru.

30
Adakah peruntukan perundangan yang sedia ada tidak adil kepada pemiutang kerana rakan kongsi sedia ada boleh mengelak liabiliti dengan bertukar sahaja kepada PLT? Apakah rasional/remedi untuk ini?

Di bawah Akta PLT 2012, adalah diperuntukkan bahawa semua hak dan liabiliti akan dipindah kepada PLT selepas penukaran daripada sebuah syarikat persendirian atau perkongsian konvensional. Bahkan rakan kongsi kepada perkongsian konvensional yang telah bertukar kepada PLT hendaklah terus bertanggungjawab secara peribadi, bersama dan berasingan dengan PLT untuk liabiliti dan obligasi yang ditanggung sebelum penukaran tersebut. Di bawah peruntukan undang-undang, hak pemiutang juga dilindungi kerana persetujuan pemiutang adalah diperlukan sebelum sesuatu penukaran boleh dibuat.

31
Siapakah yang dianggap sebagai golongan profesional di bawah Akta PLT 2012?

Di bawah jadual pertama Akta PLT 2012 kumpulan berikut ditakrifkan sebagai profesional: -

Akauntan Bertauliah
Peguambela dan Peguamcara
Setiausaha Syarikat
32
Bolehkah dua profesional yang berbeza (contohnya, seorang peguam dan akauntan) menjadi pekongsi satu LLP?

Tidak boleh. Sebuah LLP ditubuhkan bagi maksud menjalankan amalan profesional hendaklah terdiri daripada orang sebenar yang mengamalkan profesion yang sama sahaja. Ini adalah untuk memastikan bahawa isu-isu integriti dan etika dapat diperhatikan.

33
Akta PLT 2012 menghendaki golongan profesional mendapatkan surat kelulusan badan pengawal masing-masing sebelum PLT dibentuk untuk amalan profesional. Adakah syarat ini terpakai untuk golongan professional asing yang berhasrat membentuk PLT di Malaysia?

Akta PLT 2012 tidak melarang golongan profesional asing menjalankan amalan profesional di Malaysia. Walau bagaimanapun, ini tertakluk kepada syarat dan kelulusan badan pengawal berkaitan menurut undang-undang yang mengawal golongan profesional tersebut di Malaysia.

34
Bolehkah PLT asing menjalankan perniagaan di Malaysia?

PLT asing boleh menjalankan perniagaan di Malaysia dengan mendaftar di SSM dan mengemukakan dokumen berikut:-

Salinan sah sijil pendaftaran di tempat asal pemerbadanan atau penubuhannya; dan
Salinan sah piagam atau instrumen yang menentukan perlembagaannya, jika ada.
35
Adakah perlu untuk setiap rakan kongsi itu merupakan “pemastautin” di Malaysia?

Tiada keperluan untuk rakan kongsi menjadi pemastautin di Malaysia tetapi terdapat keperluan agar pegawai pematuhan perlu merupakan warganegara atau pemastautin di Malaysia.

36
Bagaimanakah PLT boleh dibubarkan?

PLT boleh dibubarkan melalui:

Penggulungan Mahkamah
Perintah Penggulungan Sukarela; dan
Pemotongan
37
Dalam keadaan apakah sebuah PLT boleh digulungkan oleh Mahkamah?

PLT boleh digulungkan oleh mahkamah di bawah keadaan yang sama sesebuah Syarikat digulungkan oleh mahkamah sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Akta Syarikat 1965. Akta PLT 2012 memperuntukkan bahawa peruntukan-peruntukan dalam Akta Syarikat 1965 berkaitan dengan penggulungan oleh Mahkamah akan terpakai kepada LLP.

38
Bagaimanakah sebuah PLT boleh dibubarkan secara penggulungan sukarela?

Jika sesuatu PLT telah berhenti beroperasi dan telah menunaikan semua hutang dan liabilitinya, seorang pekongsi PLT itu boleh memohon kepada Pendaftar untuk penggulungan PLT itu secara sukarela dengan syarat semua keperluan yang dikehendaki di bawah Akta PLT 2012 bagi permohonan penggulungan secara sukarela dipenuhi.

39
Dalam keadaan apakah PLT boleh dipotong daripada daftar?

PLT boleh dipotong daripada daftar sekiranya Pendaftar mempercayai dan mempunyai alasan-alasan yang wajar seperti berikut:-

a. PLT tidak lagi menjalankan perniagaan;
b. Tujuan PLT bertentangan dengan Akta;
c. Tujuan PLT bersifat prejudis kepada kepentingan negara;
d. Tiada pelikuidasi bertindak dalam kes-kes mahkamah yang memerintahkan penggulungan; atau
e. Urusan PLT telah digulungkan sepenuhnya tetapi aset-aset tidak mencukupi untuk membayar kos bagi memperoleh perintah mahkamah untuk membubarkan PLT.

40
Adakah PLT perlu menguruskan rekod perakaunan?

Ya. Semua rekod perakaunan perlu disimpan untuk membolehkan akaun PLT disediakan yang memberikan pandangan sebenar dan adil (true and fair view) tentang kedudukan hal ehwal PLT. Rekod perakuanan hendaklah disimpan untuk tempoh selama 7 tahun.

41
Adakah penyediaan akaun bagi sesuatu LLP perlu mengikut piawaian perakaunan yang diluluskan sama seperti syarat yang dikenakan ke atas syarikat-syarikat di bawah Akta Syarikat 1965?

Salah satu objektif utama untuk memperkenalkan bentuk perniagaan PLT adalah untuk memberikan fleksibiliti dalam urusan dalaman sesebuah perniagaan. Sama seperti perkongsian konvensional, peruntukan perundangan PLT tidak menetapkan keperluan penyediaan akaun PLT dibuat mengikut piawaian perakaunan yang diluluskan. Walau bagaimanapun sebuah PLT perlu menyediakan dari semasa ke semasa rekod-rekod perakaunan yang akan memberi gambaran yang benar dan saksama mengenai keadaan hal ehwal kewangan PLT.

42
Perlukah ada pengauditan perakaunan?

Tiada keperluan untuk pengauditan mandatori untuk PLT.

43
Perlukah PLT mengemukakan Penyata Tahunan?

Tidak. Bagaimanapun, PLT perlu mengemukakan Deklarasi Tahunan kepada Pendaftar dengan menyatakan sama ada PLT mampu membayar hutangnya atau sebaliknya.

44
Perlukah PLT mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan?

Tiada keperluan untuk PLT mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan.

Incoming search terms:

  • maksud visvim